Tujuan utama pengkajian sirah ialah agar setiap muslim dapat memahami hakikat zahir dan batin Islam yang telah teradun di dalam diri RasuluLlah s.a.w. Tegasnya kajian sirah Rasulullah s.a.w adalah satu usaha mengumpul hakikat dan intisari dasar-dasar Islam daripada satu contoh yang hidup di dalam diri seorang manusia yang telah dipilih oleh Allah untuk menjadi pemimpin dan ikutan manusia sejagat.
Ini bererti pengkajian sirah Rasulullah s.a.w bertujuan mejelaskan kepada manusia bagaimanakah caranya Rasulullah s.a.w mendukung Islam dalam hidupnya daripada segala segi dan sudut.
Dalam konteks da’wah, Rasulullah s.a.w adalah uswah hasanah. Segala sifat-sifat seorang da’i yang diperlukan dalam segala peringkat da’wah itu terkumpul pada diri baginda. Rasulullah s.a.w telah menunjukkan sifat-sifat da’i pada waktu da’wah terpaksa dilaksanakan secara bersendirian, pada masa bilangan penyokong segelintir sahaja, pada masa pencinta-pencinta Islam ditindas, semasa da’wah Islamiyyah ditekan, semasa mula mendapat kekuasaan dan ketika harta benda dan kekuasaan penuh tercapai. Sifat-sifat da’i yang asas seperti sabar, sidq, rahmah, tawaddu’ dan tawakkal terkumpul dalam diri Rasulullah s.a.w.
Dalam konteks perjuangan Islam pula, RasuluLlah s.a.w adalah qudwah daripada segi tindak tanduknya menyusun harakah Islamiyyah yang pertama, cara-cara pengambilan awal anggota-anggota harakah, tarbiyyah yang diberikan kcpada anggota-anggota di pelbagai peringkat komitmen dan mas’uliyyah, serta penekanan terhadap bentuk-bentuk ‘amal yang afdal untuk dilakukan oleh anggota-anggota jama’ah Islam dari semasa ke semasa menurut tahap-tahap perjuangan harakah.
Dalam konteks kepemimpinan harakah pula, Rasulullah s.a.w adalah sebaik-baik teladan daripada sudut keupayaan menggerakkan anggota-anggota harakah ke arah pencapaian matlamat perjuangan, kemampuan mengatur strategi yang berkesan dan penetapan asas-asas kepemimpinan di pelbagai bidang seperti, musyawarah, pengajaran ‘ilmu, ketenteraan dan kenegaraan. Baginda juga adalah teladan yang paling baik dalam pentadbiran satu organisasi yang paling baik dan berkesan.
Tajdid Islami hari ini tidak dapat dipisahkan daripada usaha untuk mengembalikan umat Islam agar berpegang kepada ajaran-ajaran al-Qur’an dan as-Sunnah. Satu-satu cara untuk mengembalikan umat agar kembali kepada al-Qur’an dan as-Sunnah adalah melalui cara yang ditunjukkan oleh al-Qur’an dan as-Sunnah itu sendiri. Menggunakan cara yang telah digariskan oleh al-Qur’an dan as-Sunnah pula tidak mungkin dapat dilaksanakan melainkan melihat perlaksanaannya secara dinamis, bukan statis daripada riwayat hidup dan perjuangan Rasulullah s.a.w sendiri.
- Rahsia suri rumah dapat barang murah setiap hari LIHAT SINI <<==
Ini ditegaskan oleh al-Qur’an dan as-Sunnah sendiri:
“Apa yang diberikan Rasul kepada kamu maka terimalah dia. Dan apa yang dilarangnya bagimu maka tinggalkanlah. ”(Al-Hasyr: 7)
“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu teladan yang baik bagimu. ”(Al-Ahzab: 21)
“Katakanlah: ‘Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu. ’ Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. ”(Ali-‘Imran: 31)
Dengan ini dapat digariskan bahawa pengkajian sirah
Rasulullah s.a.w dalam konteks tajdid Islami adalah bertujuan untuk:
1. Mengenali ciri-ciri yang mesti wujud pada para du’at yang ingin menegakkan kembali Islam sebagai ad-Din dan ad-Daulah.
2. Mengenali ciri-ciri kepemimpinan yang berkesan bagi memimpin para du’at di dalam harakah Islamiyyah. ,
3. Mengenali ciri-ciri da’wah Islamiyyah yang mesti dilaksanakan di seluruh peringkat perjuangan.
4. Mengenali ciri-ciri harakah Islamiyyah sebagai satu tanzim jama’i yang bergerak ke arah pencapaian matlamat yang jelas.
5. Mengenali ciri-ciri dan unsur-unsur manhaj perjuangan sehingga tertegaknya syari’at Allah di atas muka bumi ini.
Dengan ini nyatalah bahawa dalam rangka manhaj perjuangan Islam, sirah nabawiyyah membantu harakah Islamiyyah dalam menanggapi dasar-dasar perjuangan dan memberi panduan-panduan umum terhadap cara-cara untuk mengorak langkah ke arah pencapaian matlamat.
Risalah Islam dan cara-cara untuk menegakkannya adalah sesuatu yang bersifat kekal. Sejak dahulu lagi, setiap umat yang memperjuangkan ‘aqidah dan syari’at ALlah sentiasa dibantu oleh para anbiya’ dan wahyu. Oleh itu, bagi generasi yang tidak lagi diturunkan rasul kepadanya, sudah pasti manhaj perjuangan yang digariskan oleh rasul penutup menjadi panduan utama dalam mewarisi perjuangan menegakkan ‘aqidah dan syari’ah.
Bagi para mu’min ‘amnya, dan para du’at khususnya, pengkajian sirah nabawiyyah adalah merupakan satu kajian yang memberi bahan dan bekalan yang amat berharga kepadanya dalam ia memperjuangkan Islam.