CORETAN HARI MALAYSIA
Mengapa Ianya Terbiar Dan Tidak Dimanfaatkan?
Apabila menyebut tentang Ulu Bendul, apa yang akan terlintas difikiran ramai adalah jeram atau air terjunnya. Tidak ramai yang mengetahui tentang kolam air panas semula jadinya.
Sebenarnya Ulu Bendul dianugerahkan dengan kelebihan alam semula jadi, bukan sahaja sumber air terjun dan hutan simpan asli tapi juga memiliki beberapa sumber mata air panas semula jadi.
Namun nasib tidak menyebelahi kawasan mata air panas ini. Tidak seperti Kawasan Rekreasi Hutan Lipur Ulu Bendul, di mana kerajaan negeri memperuntukan sejumlah dana bagi tujuan membangunkan serta mempromosikan kawasan itu.
Seingat saya, Taman Rekreasi Ulu Bendul telah mengalami beberapa fasa pengubahsuaian fasiliti. Ini termasuk bangunan kedai, kolam mandi, laluan pejalan kaki dan lain-lain kemudahan awam.
Malangnya, fasa pembangunan seumpamanya tidak berlaku di kawasan sumber mata air panas yang berada kurang 2 kilometer dari Taman Rekreasi Ulu Bendul. Lantaran itu terlintas persoalan di benak fikiran saya, mengapa kerajaan Negeri Sembilan khususnya gagal memanfaatkan kelebihan alam semula jadi di Ulu Bendul ini?
- Rahsia suri rumah dapat barang murah setiap hari LIHAT SINI <<==
Saya berpandangan bahawa sekiranya dibangunkan kawasan rekreasi air panas ini, sudah pastilah ianya juga akan menjadi salah satu lokasi perlancongan dan rekreasi di Negeri Sembilan. Ini terbukti dengan pembinaan kawasan rekreasi Kolam Air Panas di Pedas, Rembau.
Saya melihat, sekiranya fasiliti dibangunkan dengan lengkap serta mempunyai kemudahan akses yang baik, mengapa tidak ianya juga akan menjana ekonomi rakyat sekitar Ulu Bendul khususnya dan suluruh Seri Menanti amnya. Justeru itu wakil rakyat Seri Menanti, YB Dato’ Abd Samad digesa membawa saranan ini demi kepentingan semua.
Dengan membawa jolokan Bandar di Raja Negeri Sembilan, Seri Menanti seharusnya dibangunkan lagi dengan lebih giat agar tidak dilihat seperti ‘gah nama dari rupa’. Wakil rakyatnya haruslah sedar akan faktor-faktor ‘X’ yang mampu dinaik taraf di Seri Menanti jika dimanfaatkan dengan pelan pembangunan yang rapi dan terancang.
*Selamat hari Malaysia…
16 September 2015
Khairul Anuar Md Nasir
Ketua Penerangan Nadi Rakyat