KUALA LUMPUR: Beregu wanita negara memulakan aksi pertama mereka dengan langkah kanan apabila mara ke pusingan kedua Kejohanan Siri Super Premier Terbuka Malaysia di Stadium Putra, Bukit Jalil, hari ini.
Pasangan Vivian Hoo dan Woon Khe Wei mengambil masa satu jam tujuh minit untuk menewaskan pasangan Thailand, Putita Suparajikul dan Sapsiree Taerattanachai dalam perlawanan yang berlarutan sehingga set penentuan.
Pasangan emas Sukan Komanwel 2014 yang turun untuk aksi pertama hari ini mengakui masih belum menyerap mood pertandingan yang memaksa mereka akur tewas pada set pertama 17-21 kepada pasangan Thailand.
“Habis set pertama, kami perlahan-lahan dapat rentak dan taktikal semula, semua (perlawanan) main ikut pelan kami dan terus dapat kemenangan ini,” kata Vivian, yang kembali bersemangat bersama Khe Wei untuk menang set kedua dan set penentuan 21-17, 21-16.
Beregu negara yang masih menunggu khidmat jurulatih baharu ini, dijangka berdepan pasangan Indonesia Anggia Shitta Awanda/Mahadewi Istirani Ni Ketut atau Christinna Pedersen/Kamilla Rytter Juhl dari Denmark.
- Rahsia suri rumah dapat barang murah setiap hari LIHAT SINI <<==
Jurulatih sebelum ini, Rosman Razak baharu melepaskan kontrak bersama BAM semalam dan tempat itu bakal diganti Lim Pek Siah bermula 1 Mei ini.
Rekod pertemuan beregu negara dengan pasangan Denmark, berpihak kepada pasangan Christinna/Kamilla pada pertemuan pertama pada aksi Piala Uber di India tahun lalu.
“Kami berharap prestasi kami akan kekal sama walaupun beraksi tanpa Rosman. Kami berharap dapat memberi persembahan terbaik esok. Kalau berdepan dengan pasangan dari Denmark, memang susah, sebab mereka memang beregu terbaik, kami pernah bermain dengan mereka sekali pada Uber Cup tetapi kalah.
“Apa-apa pun, kami akan bermain dengan aksi terbaik untuk menunjukkan hasil kerja kerasnya (Rosman),” katanya.
Sementara itu, Woon yang terkejut dengan keputusan Rosman untuk menamatkan kontrak bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM), berharap bekas jurulatihnya akan mencapai kejayaan
“Sebelum ini kami semua memang ikut jurulatih Rosman, tiba-tiba dia cakap dia mahu berhenti, kami sedikit terkejut tetapi kami doakan dia akan berjaya dalam kariernya walaupun tidak bersama kami,” katanya.
Pasangan itu juga bersedia untuk bekerjasama dengan jurulatih Pek Siah yang akan menggalas cabaran sebagai jurulatih beregu wanita.
“Memang kami kenal dia dari dulu masa dia jadi pemain, kami pun pernah tengok dia main tapi tak pernah dilatih Pek Siah. So kami harap dapat bekerjasama untuk capai lebih banyak kejayaan,” kata Vivian.