Allah s.w.t sangat baik kepada kita. Terlalu banyak bukti cintanya. Pelbagai hadiah dihulurkan istimewa buat kita berupa makanan, minuman,oksigen, pakaian, tempat tinggal dan banyak lagi.
Bahkan, hadiah paling mahal di dunia berupa iman dan Islam turut sudi diberikannya. Dialah sebaik-baik Kekasih yang tidak akan mengecewakan kekasihnya.
“I love You, Allah…”
Bagaimana pula cara kita mengekspresikan cinta kepada Allah s.w.t. agar terbukti kita juga membalas cintanya? Bahkan, kita ingin nyatakan bahawa kita bergantung hidup dan mati hanya padanya. Biarpun kebesarannya tidak terjejas tanpa cinta kita, namun kemuliaan kita terjejas teruk tanpa cintanya. Cintailah Allah s.w.t. agar Dia bertambah cinta kepada kita.
Mari beritahu Allah s.w.t., “I love You, Allah…” dengan tip-tip berikut:
1. Mengenali Allah s.w.t.
Bagaimana mengenali Allah s.w.t.? Allah s.w.t. telah memperkenalkan dirinya kepada kita dengan al-Asma’al-Husna, dan tindakan-tindakannya. Dia mempunyai kesempurnaan mutlak, tiada cacat, tiada kekurangan, tidak sakit dan tidak mati. Zat-nya tidak sama dengan sesuatu apa pun. Tidak terjangkau akal kita.
Jika syaitan cuba mengambarkan zatnya dalam bentuk patung; berhujahlah dengan yakin: “Itu patung! Bukan Allah!” Jika syaitan cuba menggambarkan zatnya dalam bentuk manusia; katakanlah: “Itu manusia! Bukan Allah!”
Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: “Tiada sesuatu pun yang seumpama dengannya. Dialah yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.” (Surah al-Syura 42: 11)
Kenalilah Allah s.w.t. melalui petunjuk Rasulnya. Nabi Muhammad s.a.w. lebih mengenali Allah s.w.t. berbanding kita semua. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Aku ialah orang yang paling mengenali Allah berbanding kalian. Maka, aku ialah orang yang paling takut kepada Allah berbanding kalian.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Allah s.w.t. sangat akrab dan dekat dengan diri kita melebihi dekatnya urat leher kita dengan kita. Dia berpesan kepada Rasulnya dalam al-Quran: “Jika hamba-Ku bertanya kepadamu tentang-Ku, katakanlah: ‘Aku dekat.”‘ (Surah al-Baqarah 2: 186)
Meskipun Rasulullah s.a.w. telah pergi meninggalkan kita, namun Baginda mewariskan para ulama untuk menerangkan petunjuk al-Quran dan sunnah. Allah s.w.t. berfirman dalam surah Fatir ayat 28 yang bermaksud: “Orang yang paling takut kepada Allah daripada kalangan hambanya ialah ulama.”
Kenali dan cintai ulama, insyaallah kita akan lebih mengenali dan mencintai Allah s.w.t. Lazimi majlis-majlis ilmu dan dekati buku-buku karangan para ulama, insyaallah makin bertautlah hati kepada cinta Allah s.w.t.
2. Bersangka Baik Terhadap Allah
Sebagai hamba, kita hendaklah bersangka baik terhadap Allah sebagai ekspresi cinta kepadanya. Hadis Nabi s.a.w. dalam satu hadis Kudsi yang bermaksud: “Aku (Allah) berada dalam sangkaan hamba-Ku. Maka bersangkalah dengan Aku apa yang kehendaki (Riwayat Ahmad)
Dalam riwayat lain menyebut: “Aku selalu mengikut sangkaan hambaku. Aku sentiasa bersama-samanya. Ketika ia mengingatiku dalam dirinya, Aku pun mengingatinya dalam diriku. Jika dia mengingatiku di hadapan orang ramai, Aku pun akan mengingatinya di hadapan orang yang lebih ramai. Jika dia mendekatiku sepanjang sejengkal, Aku akan mendekatinya sehasta. Jika dia mendekatiku sehasta, Aku akan mendekatinya sedepa. Jika dia mendatangiku dengan berjalan kaki, Aku akan mendatanginya dengan berlari.” (Riwayat al-Bukhari)
Kita juga perlu positif dengan Allah s.w.t. tatkala berdoa kepadanya. Dalam surah al-Baqarah ayat 186, Allah s.w.t. mendedahkan tentang dirinya yang sentiasa bersedia mendengar apa-apa jua luahan hati, impian, cita-cita dan harapan kita. Malah, Dia bersedia mengabulkannya asal sahaja kita mengikut kehendaknya. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: “Aku kabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Hendaklah mereka itu memenuhi perintahku dan beriman kepadaku agar mereka memperoleh kebenaran.”
3. Mencintai Apa-Apa yang Dicintai oleh Allah
Cara kita mencintai Allah s.w.t. itu mestilah selari dengan apa yang Allah kehendaki. Orang Yahudi dan Kristian juga mengaku mereka mencintai Allah s.w.t. Hinggakan mereka banyak melakukan kerja-kerja amal atas nama Allah s.w.t. Namun, apabila mereka mengingkari kekasih Allah s.w.t. iaitu Nabi Muhammad s.a.w., maka cinta mereka kepada Allah s.w.t. tertolak. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Jika kamu mencintai Allah, maka ikutlah aku (Muhammad), kamu akan dicintai Allah. Dan Dia mengampunkan dosa-dosa kamu.’ Allah Maha Pengampun lagi Maha Pengasih.” (Surah Ali ‘Imran 3: 31)
- Rahsia suri rumah dapat barang murah setiap hari LIHAT SINI <<==
Dalam buku Mahabbah Allah (mencintai Allah), Ibn al-Qayyim menyusun tahap-tahap menuju cinta Allah. Cinta berkait dengan amal. Amal pula bergantung pada keikhlasan kalbu, di sanalah cinta Allah bertamu. Cinta Allah merupakan refleksi daripada disiplin keimanan dan kecintaan yang terpuji, bukan kecintaan tercela yang menjerumuskan kepada cinta selain Allah. Maka, beramallah dengan amalan-amalan yang Allah sukai dengan mengikut petunjuk Rasulullah s.a.w.
4. Membenci Sesuatu yang Allah Benci
Allah s.w.t. benci akan kekafiran, maksiat dan kelalaian. Mujarabkah ubat cinta Allah s.w.t. yang kita teguk dengan menelan sekali racun kemurkaannya?
Allah s.w.t. berfirman, ertinya: “Telah dekat kepada manusia hari menghisab segala amalan mereka, sedang mereka berada dalam kelalaian lagi berpaling (daripadanya).” (Surah al-Anbiya’21: 1)
Dalam menilai mana yang baik dan buruk, berpeganglah pada prinsip: “Yang baik itu, apa yang Allah kata baik dan yang buruk itu apa yang Allah kata buruk.”
Antara perkara-perkara yang mengundang kebencian Allah s.w.t. dan menjauhkan kita daripada cinta Allah s.w.t. ialah:
1. Menduakan cinta Allah s.w.t. dengan tandingan-tandingan lain.
2. Kufur, fasiq dan nifak.
3. Melakukan perbuatan-perbuatan keji, seperti zina, sodomi, minum minuman keras dan sebagainya.
4. Mensia-siakan solat, dan mempermudah waktu-waktunya, serta sengaja meninggalkan daripada mendirikannya secara berjemaah di masjid.
5. Sedikit mengingat Allah s.w.t.
6. Sedikit membaca al-Quran.
7. Meninggalkan berdoa dan bertawakal kepada Allah s.w.t.
8. Mencintai dunia dan menyibukkan diri untuk mengumpulkannya.
9. Tashabbuh (menyerupai) dengan musuh-musuh Allah s.w.t., baik dalam hal pakaian yang tidak menutup aurat, cara hidup dan penampilan (punk, pondan dan Iain-lain).
10.Berkawan dengan orang jahat dan orang yang membawa kita lupa kepada Allah s.w.t.
11. Mensia-siakan waktu dalam hal yang bukan termasuk ketaatan kepada Allah s.w.t.
12. Terlalu banyak makan, minum, tidur dan membuang masa kerana itu semua boleh menyebabkan rosaknya hati dan malasnya anggota badan daripada melaksanakan ibadah.
13. Terlalu banyak mendengar lagu-lagu dan menonton siaran TV yang lagha.
14. Tidak berhati-hati dalam segala hal yang berkaitan dengan halal dan haram.
15. Melanggar perkara-perkara haram yang terang lagi jelas, seperti penyalahgunaan dadah, merokok, wanita mendedahkan aurat dan keluar dengan bersolek serta memakai wangi-wangian dan sebagainya.
5. Memperkecil Cinta kepada Dunia
Memperkecilkan cinta pada dunia tidak bermaksud kita mesti menjadi orang miskin. Ada sebahagian kecil kelompok akhir zaman yang menganggap kecilkan cinta kepada dunia itu bererti menjauh daripada kehidupan duniawi, kemasyarakatan, pembangunan dan teknologi. Mereka sentiasa mencari jalan keiuar daripada tanggungjawab sosial dengan alasan tidak mahu terlibat dalam penyakit sosial.
Rasulullah s.a.w. menunjukkan qudwah yang multidimensi dalam hidupnya. Ini termasuk Baginda menjadi qudwah sebagai orang kaya dalam situasi tertentu, dan Baginda juga menjadi qudwah sebagai orang miskin dalam situasi yang Iain. Jika Baginda diuji miskin, Baginda bersabar dan tekun berusaha. Jika Baginda mendapat kekayaan dunia, diekspresikan syukur dengan memanfaatkan harta ke jalan Allah s.w.t.
Rasulullah s.a.w. dan para sahabat sangat dinamik. Generasi terbaik itu menjaga hubungan dengan Allah s.w.t. dalam bekerja, mencari nafkah, berkeluarga, membuat pembangunan fizikal, membina ketamadunan teknologi dan berperang. Baginda menunjukkan qudwah hubungan dengan Allah, penyucian jiwa daripada akhlak tercela dan menghiasinya dengan akhlak mahmudah dalam setiap aktiviti kehidupan. Hidup Rasulullah dan para sahabat seimbang (wasatiyyah) hinggakan dunia di jari, Allah tetap berkuasa di hati.
Mari Berdoa
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Allah Yang Maha Agung dan Mulia menjumpaiku (iaitu dalam tidurku), kemudian berfirman kepadaku: ‘Wahai Muhammad, katakanlah: ‘Ya Allah, aku memohon kepadamu untuk mencintaimu, mencintai sesiapa sahaja yang mencintaimu, serta mencintai perbuatan yang menghantarkan aku untuk mencintaimu.””
(Riwayat al-Tirmizi)