manusia akan teraba-raba dalam kegelapan dan kesusahan. Justeru, mereka yang kufur kepada Allah dan golongan yang tidak mengamalkan Islam akan berada dalam kegusaran mencari erti kehidupan. Nikmat yang paling bererti dan bermakna dalam hidup ini adalah apabila memperoleh cahaya Islam. Kebahagiaan akan terpancar tatkala seseorang itu mengamalkan ajaran Islam dalam kehidupannya dengan penuh keikhlasan. Tidak akan wujud kebahagiaan melainkan terdapat ketenangan terutama ketenangan jiwa dan rohani. Dan ketenangan yang paling penting bagi seorang manusia ialah apabila dia dapat mengenal diri dan Penciptanya, mengetahui tujuan dia dijadikan dan kesudahan yang akan menantinya. Persoalan seperti ini hanya dapat dihuraikan oleh hati yang beriman, sama sekali tidak akan dapat dikecap oleh hati yang kufur dan ingkar kepada Tuhannya. Orang yang kufur kepada Allah s.w.t., walaupun pada zahirnya mereka kelihatan seperti orang yang paling bahagia, hakikatnya hidup mereka terseksa dan menderita. Segala tumpuan dan pemikiran mereka dihabiskan untuk mencari kesenangan hidup di dunia yang bersifat sementara dan tidak kekal ini. Namun apabila mereka menghampiri hari-hari tua, jiwa mereka akan bertambah derita dalam keadaan ?zikal mereka yang menjadi semakin lemah. Mereka sebenarnya tidak dapat menerima hakikat yang mereka akan menjadi tua dan meninggal dunia. Pada saat itu, mereka merasakan hidup ini tidak mempunyai tujuan yang sebenar dan betapa lemahnya diri seorang manusia. Manakala orang yang beriman mengetahui tujuan hidup mereka di dunia ini. Allah ber?rman dalam surah al-Dhariyat ayat 56, maksudnya: “Tidak Aku (Allah) ciptakan jin dan manusia kecuali supaya mereka mengabdikan diri kepadaku (Allah).” Mencari Cahaya Kebahagiaan Kebahagiaan ialah satu unsur rohani yang dapat dirasai oleh setiap Mukmin yang mengakui Allah s.w.t. sebagai Tuhannya dengan penuh kerelaan hati, menerima Islam sebagai cara hidupnya di dunia ini dan mengakui Muhammad s.a.w. sebagai rasul utusan Allah s.w.t. kepada umat manusia. Semua itu dilakukannya dengan penuh kerelaan, kesedaran dan keinsafan tanpa sebarang paksaan. Kebahagiaan dan kegembiraan bagi seorang Mukmin adalah dengan mengerjakan amalan-amalan yang balk dan soleh. Bertambah banyak amalan kebaikan yang dilakukannya, semakin tenang jiwanya dan semakin bahagia hatinya. Antara rahsia kebahagiaan bagi seorang Mukmin adalah sabar dan iman yang jitu. Sabar sebagaimana sabarnya para sahabat
Rasulullah. Lihatlah bagaimana kesabaran mereka dalam menjaga agama Allah dan mengembangkannya ke serata alam untuk menyelamatkan manusia daripada kekufuran dan kegelapan. Tidak ada satu ancaman dan seksaan di dunia ini yang mampu membuatkan mereka berganjak daripada prinsip mereka. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Hebatnya orang yang beriman, sesungguhnya setiap keadaan mendatangkan kebaikan kepadanya. Apabila dia mendapat kenikmatan dan kegembiraan dia bersyukur, maka itu ialah kebaikan baginya. Apabila dia mendapat kesusahan dan mudarat dia bersabar dan itu merupakan kebaikan baginya.” (Riwayat Muslim) Berbahagialah orang yang beriman. Meskipun mereka diuji sama ada dengan kemelaratan hidup ataupun dengan kemewahan dan keselesaan, mereka tetap bersabar dan bertasbih memuji keagungan Allah s.w.t. Contohilah Nabi Sulaiman a.s. yang semakin besar kerajaan dan pemerintahan baginda, semakin tunduk pada kebesaran Allah s.w.t. Dan lihatlah sahabat seperti Mus‘ab bin Umair r.a., yang sanggup berpisah dengan kemewahan hidup demi memperjuangkan Islam bersama junjungan tercinta Rasulullah s.a.w. Orang yang beriman ialah golongan yang paling berhak untuk menjadi orang yang paling bahagia di dunia ini. Ini kerana kebahagiaan yang mereka kecapi tidak terhenti setakat kehidupan mereka di dunia ini, bahkan berterusan ke alam barzakh dan seterusnya ke alam akhirat pada saat mereka menemui Allah s.w.t.