php hit counter

Ada Ubi Ada Batas

Antara barang yang cepat Sold Out dan berebut rakyat marhaen beli Lihat Sini

ibu_bapa_by_liz_sidekick-d2z3mog

Ibu Ayah Berbudi Sepanjang Hayat Tak  Terbalas
 
Mak Timah bergegas menuju ke satu sudut  rumah apabila mendengar bunyi deringan  telefon. Saban hari Mak Timah dan Pak Nik  menieling-jeling ke arah telefon mengharap ada anak cucu yang akan menelefon. Bagi  mereka, suara anak cucu dalam telefon sudah cukup menghiburkan dan mengubat rindu.
 
Jelas terpancar sinar kegembiraan di mata pasangan ini selepas menerima panggilan  telefon anak keduanya, Tipah. Tipah
memberitahu akan menghantar tiga orang  anaknya ke kampung seminggu menjelang  Aidilfitri kerana cuti sekolah akan bermula  lebih awal daripada biasa.
 
Kebetulan pula dua orang cucu yang lain akan pulang ke kampung awal juga.
 
Biasanya, sebahagian daripada anak-anaknya akan tinggal di kampung selama seminggu.
 
“Alahai…” tiba-tiba kedengaran Mak Timah melepaskan keluhan berat.
 
“Kenapa maknya?” tanya Pak Nik kehairanan.  Hairan kerana sebentar tadi Mak Timah kelihatan gembira tetapi tiba-tiba berubah pula.
 
“Bukan apa, saya memang suka cucu-cucu kita balik kampung. Saya cuma memikirkan cara mahu melayan mereka.”
 
Sekali Air Bah Sekali Pantai Berubah
 
Mungkin tidak ramai yang mencongak secara  kasar berapa kenaikan kos belanja  keseluruhan yang terpaksa ditanggung oleh
orang tua setiap kali anak cucu balik ke  kampung dalam jangka masa walaupun hanya  seminggu. Jangan salah tanggap pula. Saya tidak bermaksud untuk memberi perspektif negatif tentang kepulangan anak cucu ke kampung pula! Perkara yang ingin ditekankan adalah keprihatinan anak-anak dalam meringankan beban kewangan tambahan tersebut.
 
Mungkin isu ini kelihatan remeh, tetapi tiada datuk nenek yang sanggup mengungkit soal duit apabila ia melibatkan cucu-cucu
kesayangan. Sering kali konflik ini kekal dipendam tanpa disuarakan.
 
Kebanyakan datuk nenek yang tinggal di  kampung sudah berusia atau dalam kategori golongan warga emas dan bekas pesara yang menyara kehidupan dengan wang pencen. Malah, ada yang hanya pekerja kampung ketika muda dahulu dan tidak menerima sebarang wang pencen. Mereka hanya sekadar mengharap baki simpanan dan juga ihsan anak-anak.
 
Hakikatnya, kos hidup di kampung juga semakin meningkat seiring dengan golongan  yang tinggal di bandar terutamanya
keperluan asas seperti kos bahan makanan serta bil utiliti. Apabila tiba musim tertentu, mereka “terpaksa” menampung kos tambahan, datuk dan nenek ini kadangkala terpaksa menghadapi belanjawan defisit pada bulan tersebut, ibarat kata sekali air bah sekali pantai berubah.
 
Biasanya mereka tidak pernah bersungut,  tetapi anak-anak seharusnya memahami  keadaan tersebut dan berpakat sesama adik-beradik untuk meringankan bebanan ibu bapa  mereka.
 
Ke mana Tumpah Kuah Kalau Tidak ke Nasi?
 
Anak-anak yang telah bekerja sewajarnya  menghulurkan sumbangan kewangan secara  tetap kepada ibu bapa yang sudah tua. Usah  dipersoalkan sama ada ibu bapa sudah  mempunyai wang pencen yang mencukupi untuk  menyara kehidupan mereka atau tidak.  Walaupun ibu bapa tidak pernah meminta, tetapi memadailah atas asar tanggungjawab dan kasih sayang, sumbangan tersebut diberikan dengan ikhlas.
 
Pasangan muda pada zaman ini sering  merungut kesempitan kewangan terutamanya bagi yang tinggal di bandar besar. Manakan tidak, gaji RM3,000 sebulan pun masih dianggap miskin di bandar. Hakikat tersebut tidak perlu dijadikan alasan untuk melepaskan tanggungjawab membantu ibu bapa yang sudah tua.
 
Setiap anak-anak perlu meletakkan item “ihsan ibu bapa” dalam salah satu daripada perbelanjaan bulanan wajib supaya tidak
terlepas pandang. Maklumlah, ketika menguruskan sumber kewangan yang terhad,  mungkin item ihsan ibu bapa tersebut diletakkan sebagai item tercorot dalam  senarai hinggakan hanya memberi jika  terdapat lebihan!
 
Ada pula dalam kalangan anak-anak berkata: “Pencen ayah lebih banyak daripada gaji  kami.” Yakinlah, pemberian kita kepada ibu  ayah akhirnya akan kembali semula kepada anak-anak dan cucu-cucu mereka ibarat ke mana tumpah kuah kalau tidak ke nasi. Malah dengan lebihan tersebut, ia dapat memudahkan orang tua kita untuk infak dan sedekah bagi menambah saham akhirat.
 
Allah s.w.t. berfirman, maksudnya: “Mereka bertanya kepadamu (Muhammad): ‘Apa yang akan mereka belanjakan (dan kepada siapa?)’ Katakanlahz ‘Apa jua harta yang kamu nafkahkan maka berikanlah kepada kedua-dua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang miskin dan orang yang dalam perjalanan.’ (Ingatlah) apa jua kebajikan yang kamu lakukan, maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahuinya.” (Surah al-Baqarah 2: 215)
 
Jangan Dibiar Ibu Ayah Menunggu Giliran  Haji
 
Akhbar Berita Harian beltarikh 2 Julai 2012 melaporkan senarai menunggu yang mendaftar seramai 500,000 orang dan purata tempoh menunggu melebihi 10 tahun. Sekiranya ibu  ayah tergolong dalam kumpulan yang agak lewat mendaftar hingga terpaksa menunggu ke usia lanjut untuk mendapat giliran melalui muassasah, sewajamya anak-anak berusaha dan
berpakat untuk membantu ibu bapa menunaikan haji melalui pakej yang lebih mahal.
 
Ada anak-anak yang tergamak membiarkan ibu ayah menggigit jari menunggu giliran menunaikan haji. Setiap kali tiba musim  haji, sering dipaparkan berita tentang kepayahan dan ketekunan warga emas yang akhirnya berjaya ke tanah suci setelah  berpuluh-puluh tahun mengumpul duit dengan titik peluh sendiri.
 
Semoga berita seumpama itu mencetus kesedaran dan keinsafan di hati anak-anak untuk lebih bersungguh-sungguh menyumbangkepada ibu ayah masing-masing.
 
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapanya. Ibunyatelah mengandungkannya dengan susah payah dan melahirkannya dengan susah payah (pula). Sedangkan tempoh mengandungkannya berserta tempoh menceraikan susunya ialah 30 bulan.
 
“Setelah dia membesar sampai ke peringkat dewasa yang sempuma kekuatannya dan sampai ke peringkat umur 40 tahun, dia berdoa: ‘Wahai Tuhanku, tunjukkan aku untuk mensyukuri nikmat yang telah Engkau berikan kepadaku dan ibu bapaku, dan supaya aku dapat melakukan amal soleh yang Engkau redai. Berikan kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada zuriat keturunanku. Sesungguhnya, aku bertaubat kepada Engkau dan sesungguhnya aku termasuk  dalam orang yang berserah diri. ‘ (Surah al-Ahqaf 46: 15)
 
Berbagai-bagai bentuk kebajikan yang boleh kita lakukan kepada ibu bapa. Bukan wang ringgit menjadi ukuran, juga bukan jumlah sumbangan bulanan atau bermusim yang menjadi pertimbangan, tetapi keberkatan hidup yang menjadi buruan.
 
Allah s.w.t. berfirman lagi, maksudnya “Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu sebaik-baiknya. Jika salah seorang antara kedua-duanya, atau kedua-duanya sampai kepada umur tua dalam peliharaanmu, maka janganlah kamu mengatakan kepada mereka sekalipun perkataan ‘ah’, dan janganlah kamu menengking mereka, tetapi ucapkan kepada mereka perkataan yang mulia.” (Surah al-Isra’ 17: 23)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.